Matlamat utama saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan dalam bentuk pengurusan dan motivasi untuk pembangunan diri dan kerjaya.
Ingin juga mencurahkan pengetahuan yang ada secara ringkas, mudah dan pantas memandangkan sesetengah individu kurang berminat membaca bahan bacaan(buku) yang tebal dan merimaskan.
Sekadar menyumbangkan sesuatu untuk di manfaatkan sebelum nanti saya di jemput ke SANA.

Buku

Buku

Friday, June 4, 2010

TOILET


Penghujung tahun 1987, ketika matahari pagi sudah meninggi saya baru terjaga dari tidur. Tersenyum sendirian. Saya gembira, teramat gembira pagi itu. Peperiksaan SPM sudah habis, sudah tamat sesi sekolah.Saya sudah tidak perlu lagi ke sekolah seperti hari-hari sebelumnya. Saya sudah tidak perlu lagi menjinjing beg sekolah yang di dalamnya cuma terisi sebuah buku tulis dan beberapa buah buku teks yang langsung tidak pernah di sentuh.Balik dari sekolah, beg itu akan di campak di suatu sudut sempit rumah usang kami sekeluarga, esoknya saya akan kembali menjinjit beg tersebut. Saya juga tidak perlu lagi berpakaian sekolah, baju putih yang sudah kekuningan dan sehelai seluar hijau yang tidak pernah di sentuh seterika.


Setelah beberapa kali menggosok mata, saya segera berdiri di depan cermin, membelek-belek rambut yang melepasi bahu, kerinting dan sedikit kasar. Rambut yang ada iras David Arumugam dari kumpulan Alleycats, terkadang nampak seakan paras penyanyi kumpulan Deep Purple itu saya mula simpan tidak berpotong sejak 3 bulan sebelum SPM bermula.Pun begitu, saya lebih senang menyamakan rambut saya dengan rambut Zakaria bin Puteh atau Zack, watak yang di bawa oleh Jamal Abdillah di dalam filem Azura. “Zack bukan anak patung, ayah! Itu tak boleh, ini tak boleh. Tanggungjawab ayah telah ayah laksanakan setelah membesarkan Zack, kehidupan Zack, hak Zack. Segala keputusan di tangan Zack! “
Dialog itu saya hafal, masih terpaku kukuh dalam ingatan. Hampir keseluruhan dialog dari filem Azura saya hafal. Pengaruh filem itu bukan hanya pada dialognya sahaja tetapi juga merebak pada pakaian yang di pakai oleh Jamal Abdillah., semuanya saya ikut. Tidak dapat membeli yang baru, yang bundle(terpakai) pun saya sebat. Janji, Zack!


Selepas habis peperiksaan SPM yang saya sifatkan sama dengan terlepas dari penjajahan, saya laungkan MERDEKA beberapa kali. Sekolah umpama satu benteng yang menghalang tanpa saya sedar bahawa pelajaranlah yang akan menentukan untung nasib masa depan. Tamat zaman persekolahan, saya membantu keluarga,terutamanya nenek(arwah) dan seorang adik perempuan yang menjadi tanggungan saya.Sebagai anak sulung di dalam keluarga, wajib bagi saya untuk menggalas tanggungjawab yang kekadang terasa amat menyeksa. Saya mahu membahagiakan mereka dengan segenap upaya saya, walaupun saya sendiri kelelahan.Saya mahu melihat mereka tersenyum suka setiap kali saya pulang dengan tangan menjinjit beg berisi beras dan sedikit wang saku untuk adik ke sekolah.


Dalam kesusahan yang sudah sebati dalam hidup, saya terlebih dulu di ajar dengan didikan alam, hidup perlu cekal, hati perlu tabah dan separuh dari usia remaja zaman ketika mereka yang seusia saya masih galak memakai pakaian seragam sekolah, saya sudah mula bekerja. Kembali dari sekolah, saya perlu bergegas ke sebuah gerai menjual makanan sebelum pukul 6:00 petang. Di situ, saya bekerja secara sambilan. Pulangnya nanti ketika kedua-dua jarum jam sudah saling bertindih(12 malam). Saya tiada langsung ruang untuk mengulangkaji pelajaran, apatah lagi untuk melakukan tugasan sekolah. Saya tidak pernah kenal istilah “main bola waktu petang”, tidak langsung ada peluang. Saya hanya berpeluang untuk berlumur dengan sabun mencuci pinggan, mengelap meja untuk pelanggan sehinggalah berteriak “nasi ayam, nasi goreng, nasi putih, nasi goreng ayam, nasi goreng daging, nasi goreng telor bungkus”, memanggil pelanggan datang. Menu tadi harus di hafal, perlu lancar seperti lancarnya orang lain membaca sifir darab. Jauh dalam hati, seperti juga remaja lain, saya mahu hidup senang.Mahu hidup dengan tenang, mahu ke sekolah bersama ibu yang menemani hingga ke pintu pagar sekolah, mahu berjalan berpimpin tangan dengan keluarga menghirup udara nyaman gedung mewah. Semua itu cuma angan-angan, wujud dalam dunia khayalan saya. Saya tidak pernah menyesal dengan segala kesempitan yang menghimpit, saya perlu hidup, perlu terus hidup untuk mereka yang saya sayang.


Saya pernah juga mencuba untuk bekerja sebagai buruh binaan sewaktu cuti penggal persekolahan, tetapi hanya sempat bertahan selama 2 hari sebelum di berhentikan oleh seorang taukey Cina.Alasannya, “lu kurus,talak kuat mau bancuh simen..”. Saya akur dan meneruskan semula kerja sambilan di gerai makan. Sewaktu bekerja di gerai makan itu, lagu-lagu dari kumpulan Iron Maiden dan Deep Purple sering saya siulkan atau sesekali melagukan Sendiri nyanyian Jamal Abdillah. Seperti yang saya katakan awal tadi, tamat sahaja SPM bukanlah kebebasan mutlak untuk saya. Ini zaman mencabar, zaman di mana bidang pekerjaan bukan hanya memerlukan kemahiran tetapi juga sekeping sijil sebagai pelaburan. Nah! Saya perlu bekerja, sepenuh masa. Untuk diri sendiri, untuk membantu nenek dan menyekolahkan adik. Sedikit bakinya, boleh di hulur kepada ibu dan pakcik. Yang paling penting(rasanya), saya tidak perlu lagi menghisap sebatang rokok yang di kongsi-kongsi, saya sudah boleh membeli sekotak besar(20 batang) dengan wang gaji dari titik peluh sendiri. Mewah,bukan? “Cayalah..!”


Bersama beberapa orang rakan sebaya, kami berpakat untuk mula mencari kerja,sekurang-kurangnya untuk mengisi waktu sementara menanti keputusan SPM. Di takdirkan, zaman itu kemelesetan ekonomi sedang menggila. Bukan hanya mereka yang kurang pendidikan(seperti saya) yang menganggur, bahkan si graduan lulusan tinggi juga senasib dengan kami, anak jalanan. Di antara ramai kawan-kawan, ada juga yang cuba menghasut. Katanya “Eleh Pi, ulat dalam batu pun boleh hidup…”. Saya cuma tersenyum sedang hati menggerutu geram. “Itu ulat batu, memang makan batu. Gua orang, kalau beruang lain cerita beb!”. Awal pagi, kami ke Pejabat Buruh, memohon sebarang jawatan. Sampai di Pejabat Buruh, orang ramai sudah bersesak hingga untuk melabuhkan punggung pun tiada ruang. Akhirnya, kami berpeluang mendaftar diri, tetapi masih lagi tiada sebarang peluang pekerjaan. Hanya menunggu. Hampir 3 hari kami ke Pejabat Buruh, melakukan rutin yang sama. Daftar, tunggu.Daftar, tunggu dan akhirnya kami menyerah kalah. Pejabat Buruh tidak membenihkan sebarang harapan, hatta sebesar hama pun buat kami.


Rakan-rakan yang bersama saya ketika naik turun tangga Pejabat Buruh mengambil pendekatan drastik. Kata seorang rakan “ kita terus saja pergi kilang, mana-mana kilang yang ada dalam area Seksyen 15 Shah Alam kita terjah, kita tanya jawatan kosong.” “Setuju”, sahut yang lain. Semua kilang yang berada dalam lingkungan Seksyen 15 Shah Alam kami serbu,ada wang naik bas, habis wang kami jalan kaki, tetapi semuanya pulang dengan harapan yang kosong.
Di takdirkan, setelah kaki mula pedih melecet, saya dan rakan-rakan tadi mendapat tawaran untuk hadir sesi temuduga jawatan kosong, sebagai Cleaner(cuci tingkap, cuci tandas, menyapu). Seorang Supervisor - lelaki yang sebelah matanya lebam(sejak lahir)- menjadi penemuduga kami. Melihat mukanya yang begitu, perut senak menahan gelak. Soalan pertama “ boleh kerja selepas pukul 5 petang?” Salah seorang dari rakan saya yang bermulut “laser” menjawab, “tak boleh, pasal petang kami nak main bolasepak”. “Habislah…”kata saya dalam hati. “Kalau nak main bola, jangan datang minta kerja”, bentak si penemuduga tadi dengan suara yang meningkat tinggi. Sambungnya lagi “esok datang kerja”. Saya tergamam, rakan-rakan yang bersama saya diam membatu. “Esok datang kerja, maksudnya kita dapat kerja ler..!” saya membisik perlahan.

Selesai temuduga yang mencerahkan harapan, saya bergegas pulang memberitahu ibu. Terus pula mencapai basikal dan berkayuh dengan kelajuan maksimum, mahu segera ke rumah nenek bertemu adik. Saya termengah, peluh menyimbah.Tetapi kepenatan itu segera hilang bila melihat muka adik yang menanti dan arwah nenek yang berharap. “ Dik, abang dah dapat kerja, jadi cleaner.” Adik mengangguk. “ Nanti abang kasi duit ya, buat belanja sekolah. Adik kena belajar rajin-rajin”, sambung saya. Adik mengukir senyum. Saya puas. Separuh dari kegusaran saya sudah lekang dari tangkai hati. Tanpa saya sedari, arwah nenek memerhatikan gelagat kami. Saya tahu, arwah nenek tentu gembira.


Tugasan pertama sebagai Cleaner, kami di tempatkan di SUK dan UiTM(dulu di kenali sebagai ITM). Di bekalkan dengan sehelai T-Shirt yang tertera nama syarikat. Seluar, boleh pakai seluar sendiri. Bebas. Saya memakai sehelai jeans yang sudah koyak pada bahagian lutut dan di bahagian paha tertulis beberapa perkataan(zaman rock!).


Di SUK Shah Alam, saya terpaksa memanjat bangunan, tinggi. Pakai safety belt dan cuci tingkap bangunan. Pelantar yang di jadikan tempat berpijak akan terbuai-buai bila di tiup angin. Tubuh tergantung berpuluh meter dari tanah, kenderaan yang lalu lalang nampak seakan semut yang sedang merayap.Sayup, tinggi. Jika tersalah pijak pelantar, alamatnya terus berdesup jatuh.Tubuh boleh hancur. Rasa macam dalam filem Clifhanger pula! Rasa takut sentiasa ada, tetapi segala ketakutan itu akan segera lenyap bila teringatkan janji saya dengan adik. “Nanti boleh beri adik wang, boleh beli buku sekolah dan pakaian sekolah untuk adik”, bisik hati saya. Adik dan janji saya tidak pernah lupus sepanjang saya teroleng di tiup angin sambil mencuci tingkap.


Saya paling suka bila bekerja di UiTM. Di samping mencuci tingkap, dapat juga saya mencuci mata, ramai pelajar wanita yang cantik di UiTM. Beberapa orang pelajar lelaki tersengih-sengih memerhatikan saya. Mereka masih tersengih memerhatikan seorang lelaki dengan rambut kerinting melepasi bahu dan berseluar koyak seperti kutu sedang mencuci tingkap.”Itu lelaki kutu”, mungkin begitu fikir mereka.


Sering juga, dalam waktu-waktu tertentu hati saya mudah terseliuh. Airmata akan menitis, tanpa mampu di tahan. Saya sedar, keputusan SPM saya tidak akan membawa saya ke sini(UiTM) atau ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Barangkali, seumur hidup saya hanya mampu bekerja sebagai Cleaner, sesuai dengan kelayakan yang ada. Saya bergelut dengan perjuangan untuk hidup dan member harapan pada adik dan keluarga, hingga masa depan sendiri entah sesat di mana. Biarlah, saya hidup untuk mereka. Mereka ada saya sebagai pemakmur keluarga dan saya ada mereka sebagai tulang belakang saya, pembakar semangat saya. Wajah ibu dan segugus harapannya yang hampir punah melintas di depan khayal saya. Masuk ke dalam jiwa seorang lelaki yang terpaksa berkorban untuk hidup. Terbayang dengan jelas, harapan ibu yang di tuturnya pada suatu masa “Apit, dewasa nanti kerja mesti pegang pen dan sign saja, ya nak.., mummy dah puas hidup susah, mummy tak mau anak mummy susah macam mummy.Kalau anak mummy kerja jawatan besar, mummy tumpang senang”. Perkataan“nak” tidak pernah renggang dari mulut ibu. “Maaf mummy, saya tak dapat sempurnakan harapan mummy untuk kerja jawatan besar..” dan airmata saya turun mencurah bersama peluh yang membasahi tubuh. Tangan masih terketar membilas kain pengelap tingkap. Saya gagal menyempurnakan mimpi-mimpi ibu.


Sepanjang bekerja sebagai Cleaner, tugas yang paling saya benci adalah bila di arahkan mencuci tandas. “Jatuh standard aku!” Bentak hati. Saya cepat-cepat melarikan diri bila Abang Din(Supervisor) mengarahkan untuk mencuci tandas. Akhirnya, tugas itu di laksanakan oleh pekerja wanita yang sedikit berusia berpangkat kakak.


Saya pernah di tangkap Abang Din sewaktu melarikan diri dari melakukan tugas mencuci tandas. Abang Din yang sedikit rugged tetapi amat jujur dalam bekerja menegur saya dengan dengan suara berbaur kecewa. " Fi, kenapa tak nak cuci tandas? Selalu mengelak?..Malu takut orang tengok ya?" Saya diam dan merenung ke lantai. Tambah Abang Din," Pi, kalau kita takut malu, tak ada apa pun dalam dunia yang kita boleh buat, tak kan ke mana punye". Dia berlalu untuk menghabiskan tugas yang sepatutnya saya lakukan. Saya malu bila di tegur begitu.Sebatang rokok hinggap di bibir. Hujungnya saya nyalakan api. Asap yang memenuhi rongga dada di hembus keluar, berkepul-kepul menembusi hidung. Wajah adik melintas. Janji saya pada adik kembali merentang, seperti sepanduk di depan mata. “ Nanti abang kasi duit ya, buat belanja sekolah. Adik kena belajar rajin-rajin”,ungkapan itu memenuhi ruang minda saya. Itu janji saya, janji seorang abang. Jika saya berhenti kerja sebagai Cleaner, apa lagi yang dapat saya lakukan? Dengan keputusan SPM yang sudah di jangka banyak angka 9, mampukah saya menunaikan janji pada adik? Saya tersandar pada dinding, rokok yang sudah tinggal puntungnya saya campakkan ke longkang dan hilang di bawah arus alur longkang. Betul kata Abang Din, kalau malu perut akan kosong. Ya, jangan berasa malu dan segan. Saya segera mencapai sarung tangan yang terselit di poket belakang. Sehelai sapu tangan berwarna merah di ikat kemas di dahi.Tandas harus segera di cuci, malu di campak ke tepi. Bayang wajah adik dan segunung harapan ibu dan nenek menyerap membakar semangat. “Ini kerja untuk orang yang tak berkelulusan tinggi”.


Bermula dari situ dan setangkai azimat dari Abang Din melalui nasihatnya “kalau kita takut malu, tak ada apa pun dalam dunia yang kita boleh buat”, saya mula bersungguh dalam melakukan tugasan.saya mula di beri kepercayaan untuk melakukan kerja lebih masa(overtime) kerana tiada orang lain lagi yang sanggup melakukan tugasan mencuci tandas, kecuali saya.
Dalam mendaki puncak selepas itu, ayat Abang Din kekal dalam ingatan saya. Semasa mendapat tawaran menjadi Pegawai Latihan dalam kerjaya selepas itu, timbul juga rasa malu. Saya perlu mengajar ramai pekerja baru. Malu jika saya tersalah cakap. Tapi, wajah Abang Din dan gambaran tandas yang pernah saya cuci segera muncul.Saya terima semuanya.Malu dan segan, asam garam dalam bidang kerjaya saya. Hari ini, saya mampu menyampaikan hujah dan pendapat di depan orang ramai dan pernah beberapa kali memberi ucapan di hadapan ratusan hadirin yang terdiri dari pelbagai cabang ilmu dan pangkat, dari mereka yang berstatus pelajar IPT hinggalah kepada yang berstatus Pengarah Urusan. Ia secara langsung menjadi sebahagian dari periuk nasi saya. Berkat sikap tidak tahu malu dan meletakkan sedikit keberanian mencuba sesuatu yang baru, dari seorang operator mesin saya melangkah perlahan-lahan sehingga di pertanggungjawab menjawat jawatan sebagai Pengurus Sumber Manusia. Saya, operator pengeluaran pertama yang berjaya menembusi tembok tebal untuk menjadi seorang Pengurus di sebuah syarikat yang mempunyai hampir 1000 orang operator pengeluaran ketika itu.
“Mummy, saya dapat pegang pen dan sign juga akhirnya. tapi lambat sikit ya mummy..”
Adik sudah dewasa. Adik tidak pernah mengalami pengalaman perit seperti saya. Adik sudah berkahwin dan di kurniakan tiga orang anak yang comel.
“Tanggungjawab abang sudah di laksanakan ya Dik.”

Who said a cleaner cannot become a Manager? Boleh dan tiada jawapan lain selain boleh. You can win if you want , bak lagu Modern Talking.
Saya tidak lupakan pesanan Abang Din dan gambaran tandas yang meletakkan saya pada tahap sekarang.

2 comments:

Noor Jahan said...

Terharu saya membaca citer En. Rafi dalam menempuh dugaan sebelum mencapai kejayaan. Tabah sungguh & berkat kesabaran & usaha yg berlipat ganda akhirnya membuahkan hasil yg membanggakan. Tahniah! Tidak ramai yg mampu mengharunginya.... Semoga En. Rafi terus berjaya.....& terus menjadi kebanggaan keluarga terutama "mummy"

Anonymous said...

Sorry Masterji, lama tak tengok blog.....sikit busylah.

Ni kalau buat filem ni, takut "Zack" pulak nak tiru Masterji ni. Tapi box office sure box office punya.

Anyway, good for you and you have proven that a person capability is only being limited by the individual itself. In other words, limitless.

azaman