Matlamat utama saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan dalam bentuk pengurusan dan motivasi untuk pembangunan diri dan kerjaya.
Ingin juga mencurahkan pengetahuan yang ada secara ringkas, mudah dan pantas memandangkan sesetengah individu kurang berminat membaca bahan bacaan(buku) yang tebal dan merimaskan.
Sekadar menyumbangkan sesuatu untuk di manfaatkan sebelum nanti saya di jemput ke SANA.

Buku

Buku

Friday, July 15, 2011

Dari Kacamata

Entri kali ini Masterji nak perkenalkan seorang bekas pekerja Masterji. Dia ada minat membaca yang tinggi, sama seperti Masterji. Namanya Shahrul. Dia juga ada menulis blog, http://shahrulrock.blogspot.com

Dari Kacamata

Terima kasih kerana memberi saya ruang dan peluang untuk menulis di blog Masterji. Saya seakan tidak percaya di beri peluang ini setelah sekian lama mengikuti dan mengenali Masterji. Saya pernah menulis cerita ringkas tentang Masterji di laman blog saya. "Lelaki itu kurus, cengkung dan matanya yang buntar bersinar tenggelam di celah kelopak mata yang di hias kening penuh yang cantik. Sesuai dengan usianya yang awal 40an, helaian rambutnya sudah banyak putih dari hitam, masih tersisir kemas.Dia "menyalin wajah hero Bollywood", itu katanya walau sekali di imbas lebih terarah pada Pakistan penjual karpet."
Untuk edisi penuh, boleh ke sini
Ketika saya menulis entri yang saya letakkan tajuknya "Lelaki Itu....(bukan aku)", saya cuba memberi gambaran secara seringkas mungkin tentang Masterji. Cerita-cerita beliau, pengalaman hidup yang sering melemaskan juga dentuman-dentuman frasa kejayaan yang telah di tempuhi Masterji cuba saya olah sebaik mungkin. Harapnya, tulisan itu tadi mampu mendekatkan pembaca dengan mentor saya iaitu Masterji.
Sepanjang saya mengenali Masterji yang saya anggap sebagai abang, sebagai rakan dan juga dalam masa yang sama adalah ketua saya, beliau seorang yang tegas tetapi dalam ketegasan itu, beliau juga seorang ketua yang mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi. Sebagai seorang ketua, beliau sering meletakkan kepentingan peribadi di bahagian paling bawah dalam piramid kerjaya beliau. Contohnya, beliau seringkali akan mempersalahkan diri sendiri jika sesuatu projek gagal tetapi jika projek yang di amanahkan itu berjaya, dengan senang hati beliau akan mengangkat kakitangannya sebagai orang yang bertanggungjawab mengendalikan projek tersebut.
Beliau memberi cetusan ilham dan pendapat yang amat berguna.
Rasa hormat dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada orang yang sering mengajar saya tentang erti hidup. Setiap lorekan ilmu akan saya simpan, akan saya jelmakan dan selalunya ia mampu mencetuskan ruang fikir yang lebih luas. Dia mengajar, mendidik dan menterjemahkan segala ilmu yang ada padanya tanpa pernah mengharapkan budi, tanpa pernah meminta di kembalikan. Sebagai seorang yang di anggap guru dan abang, beliau mahukan saya berjaya, beliau mahukan saya menjadi seperti beliau. Semua itu sering saya ingat dan kukuh di kotak ingatan.
Dalam banyak perkara, kami sering sehaluan. Tambahan pula kami mempunyai persamaan yang agak ketara.
Sebelum saya mengenali Masterji saya gemar membaca buku-buku yang berkisar kepada pengembaraan kerana dengan cara itulah sahaja saya dapat menjelajah ke serata pelusuk dunia dan mengenali isinya tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang besar. Hanya di santai di rumah sambil menggenggam naskah buku. Itu memadai.
Sementara Masterji pula membaca dari pelbagai cabang ilmu ; pengurusan terutamanya.
Setelah mengenali Masterji, saya sering di asak dengan pelbagai persoalan berkaitan bidang pengurusan. Akhirnya, dengan asakan-asakan itu tadi secara langsung telah memaksa saya untuk membeli buku-buku berkaitan dengan pengurusan dan motivasi.
Saya masih ingat, sekitar tahun 2006 ketika buku Blue Ocean Strategy di lancarkan, Masterji membawa bersama naskah tersebut ke pejabat. Saya tanpa segan silu terus mengambil buku tersebut dari meja Masterji di luar pengetahuan beliau. Saya membaca pada bahagian "intro". Nampak menarik.
Kembali dari tempat kerja petang itu, saya bergegas ke MPH di Giant Seksyen 13 Shah Alam untuk mendapatkan buku tersebut.Dengan wajah riang, esoknya awal-awal pagi lagi saya telah berjumpa dengan Masterji dan memberitahu beliau bahawa saya telah membeli buku tersebut.
Secara ringkasnya, saya akan cuba membaca buku yang sama dengan Masterji baca. Saya cuba wujudkan persaingan siapa yang paling banyak membaca dan selalunya sayalah juga yang akan ketinggalan.
Beliau sering mencadangkan kepada saya buku-buku yang harus di baca.
Percaya atau tidak, saya mengenali siapa itu Frank Serpico, siapa itu Jack Welch dan siapa itu Carlos Ghosn dari Masterji.

Jika di tanya pada saya siapa Masterji? Dengan senang hati saya akan berkata, "dia lelaki yang tidak pernah menyerah kalah pada keadaan".
Terima kasih sekali lagi kepada Masterji.


Kepada semua yang menulis komen pada Masterji, Masterji ucapkan terima kasih.


No comments: