Matlamat utama saya menulis adalah untuk berkongsi pengetahuan dalam bentuk pengurusan dan motivasi untuk pembangunan diri dan kerjaya.
Ingin juga mencurahkan pengetahuan yang ada secara ringkas, mudah dan pantas memandangkan sesetengah individu kurang berminat membaca bahan bacaan(buku) yang tebal dan merimaskan.
Sekadar menyumbangkan sesuatu untuk di manfaatkan sebelum nanti saya di jemput ke SANA.

Buku

Buku

Thursday, May 20, 2010

SHINE



Bayangkan, pada suatu pagi setiba anda di tempat kerja dan menerima arahan dari ketua anda, berbunyi “ Mr.Zack, sampaikan ucapan berkaitan alam sekitar kepada semua kakitangan untuk perhimpunan pagi ni”. Jantung berdegup kencang, seperti menunggu hukuman mati! Tubuh menggeletar dan peluh merenik di dahi, tapak tangan yang sebentar tadi kering kini sudah terasa basah walau suhu dalam bilik terlalu dingin dengan penyaman udara. Bayangan sekelompok pemerhati bagaikan mahu menelan anda ketika memberi ucapan pantas menguasai ruang khayalan.Ahh…gelisah.

Dalam situasi begini, kemungkinan untuk mengambi keputusan di luar dugaan juga amat tinggi; terus saja pulang untuk menyelamatkan diri . Pada yang sedikit bijak , mula mencari alasan.Logik atau tidak, letak ke tepi..janji selamat. Bagi yang berpura-pura berani, ucapan selalunya tidak langsung menepati tema seperti yang di kehendaki.Ahh..belasah saja, janji selesai,kan?

Dengan memberi pelbagai alasan untuk mengelak dari membuat “public speaking”, kita sebenarnya menolak peluang.Peluang memang tak pernah beri peluang! Kesempatan untuk bercakap di khalayak ramai adalah satu peluang yang sepatutnya di genggam kemas. Mungkin dengan memberi ucapan selama 5 minit yang di sulami dengan penyampaian yang menarik akan menghasilkan pulangan yang bukan sedikit nilainya.Sebagai satu contoh, Raja Bual Bicara Dunia; Larry King yang telah menakluk majoriti penduduk Amerika hanya dengan menggunakan kecerdasannya mengendalikan rancangan bual bicara siaran CNN.Beliau berkemampuan menemebual ahli sukan, tokoh politik dan selebriti terkenal hanya dengan gaya penyampaian yang bersahaja.Dalam usia mencecah 77 tahun,Larry King masih lagi menjadi pengacara siaran televisyen yang termahal.Beliau mampu menjana pendapatan sebanyak(minimum) USD14 juta setahun, hanya dengan bercakap!

Kita semua sama seperti Larry King.Masing-masing di anugerahkan dengan keupayaan untuk bercakap.Kita semua di anugerahkan suara, bezanya mungkin antara merdu dan tidak.Tetapi masih ada kesamaan,masih ada suara. Dengan hanya menggunakan suara dan sedikit keupayaan untuk menyampaikannya dengan cara yang berbeza, ada kemungkinan kita akan di bayar sebanyak RM500 dalam masa 1 jam. Peluang untuk menjadi penceramah, moderator, pengacara atau mungkin wakil penjual semuanya berkehendakkan keupayaan dan kemahiran bercakap dan berani dalam berdepan dengan khayalak ramai/audiens.Bidang-bidang yang saya sebutkan tadi, adalah telaga untuk meraih pendapatan lumayan.

Saya seringkali memberi perhatian kepada penjual ubat di kaki lima.Kemahiran mereka dalam bercakap untuk melariskan jualan merupakan satu kelebihan yang sukar di dapati pada kebanyakan orang. Kepetahan dan kelancaran mereka bercakap bukan sahaja mampu menarik minat golongan bawahan tetapi juga turut memukau golongan kelas menengah seperti doktor dan ahli koperat.Boleh di katakan, kebanyakan penjual ubat jalanan adalah mereka yang berpendidikan rendah tetapi mempunyai keberanian yang tinggi untuk berdepan dengan masyarakat.Rasa malu tidak pernah ada dalam istilah hidup mereka.

Saya masih ingat pengalaman pertama saya bekerja, penghujung tahun 1987. Ketika itu, saya masih lagi awal remaja.Di sebabkan kurang pendidikan saya hanya mampu menjadi seorang tukang cuci.Dari menjadi penjaga tandas, merangkap pencuci bangunan.Penyelia saya yang pertama, Allahyarham Nordin.Saya memanggilnya dengan panggilan Abang Din.Dia seorang lelaki penyabar yang mempunyai perwatakan menarik, di tambah kumis persis Tom Seleck.Saya terajar dengan kata-kata yang Allahyarham Abang Din sampaikan pada suatu hari yang terik ketika sekumpulan anak muda,termasuklah saya yang ketika itu berangan ingin menjadi Jamal Abdillah sedang mencuci kolam “air pancut” di depan Bangunan SUK, Shah Alam. Sebelumnya, kami pernah melarikan diri dari tugasan mencuci tandas akibat perasaan malu yang masih tebal.Malu sekiranya kerja mulia tetapi kotor itu dapat di lihat anak gadis. Mana mahu di letak muka ala-ala artis Bollywood ini?

Abang Din menghampiri kami, ketika masing-masing sudah bermandi peluh di bakar hangat mentari.

“Rafi..”, Abang Din menyapa saya.Saya hanya diam. Rasa bersalah kerana tidak mencuci tandas tiba-tiba muncul.

“Orang muda macam hang memang malu nak cuci tandas…” Abang Din menutur kata-kata dalam nada yang seimbang, antara nasihat dan amaran.

“Hang malu takut makwe nampak hang cuci jamban”, sambung Abang Din. “Percaya cakap abang, kalau malu sampai bila tak ke mana-mana”. Abang Din segera meninggalkan kami,beliau menuju ke tandas yang masih tidak di cuci. Rupanya, di atas rasa tanggungjawab, beliau sendiri telah mencuci tandas tersebut.

Mulai saat itu, saya memegang kata-kata azimat dari Abang Din.”Kalau malu sampai bila-bila tak ke mana-mana..”. Saya buang jauh perasaan malu, saya mahu berubah. Kerana kata-kata itu jugalah, saya mampu menjadi seperti sekarang.Seorang anak muda yang memegang batang mop dan kini sudah mampu menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar dan pengurus sumber manusia.

Lalu, apakah yang membuatkan kita lemah dan takut untuk bercakap di khayalak ramai?Apakah yang merangsang perasaan malu untuk tumbuh setiap kali di beri peluang untuk memberi ucapan?

Saya senaraikan perkara-perkara yang selalunya menjadi penghalang dan melemahkan sebilangan dari kita untuk bercakap di khayalak :-

1-Tiada pengalaman

2- Malu untuk bertentang dengan audiens.

3- Takut suara kurang jelas.

4- Bimbang jika audiens tidak suka

5- Risau jika tersalah cakap atau salah sebutan

6- Takut pada takut yang kita sendiri tidak pasti.

Sebenarnya, semua kelemahan ini dapat di atasi jika menggunakan pendekatan yang tepat.Kita boleh menjadikan televisyen sebagai model untuk pembelajaran, daripada mereka yang berpengalaman dan juga dari buku-buku yang memberi penerangan bagaimana untuk menjadi jurucakap yang baik dan cemerlang.

Pengalaman juga memainkan peranan penting untuk membolehkan diri menjadi seorang jurucakap yang baik.Saya belajar dari pengalaman. Sewaktu saya menjawat jawatan sebagai pegawai unit latihan, antara lain tugas saya adalah menjadi seorang jurukamera. Tugas sebagai seorang jurukamera bukanlah tugas yang mudah. Selain perlu mahir mengambil gambar dalam posisi yang sesuai, jurukamera juga perlu berdepan dengan khayalak ramai yang mempunyai pelbagai karenah.Perasaan malu juga perlu di ghaibkan dari mendekati diri seorang jurukamera. Berkat dari nasihat dari Allahyarham Abang Nordin yang tidak pernah saya lupa, saya laksanakan tugasan sebagai jurukamera tanpa ada rasa sesal.

Memandangkan tugas seorang jurukamera yang perlu sentiasa ke depan dalam setiap majlis untuk mengambil gambar VIP dan VVIP yang sedang berucap, sedikit demi sedikit saya mula belajar dari pemerhatian dan penelitian. Saya mula memerhatikan gaya mereka ketika berucap, intonasi suara yang menarik dan cara mereka memerhati audiens.

Saya melatih diri dari pengalaman yang sempat saya kutip sepanjang menjadi seorang jurukamera untuk menjadi seorang jurucakap atau sebagai tenaga pengajar yang berkesan.Saya menggelar formula untuk menjadi jurucakap yang baik dengan nama SHINE.


Apakah SHINE yang saya maksudkan?

S = Simple
Pastikan ucapan itu ringkas tetapi padat. Ucapan yang pendek selalunya mudah untuk di ingati di samping dapat mengelak rasa mengantuk/bosan di kalangan audiens.Pastikan juga ucapan yang berunsur fakta di sampaikan dalam nombor(bersiri).Contohnya; “Hari ini saya ada 3 fakta untuk di sampaikan . Pertama bla,bla,bla,bla….
Kedua bla,bla,bla,bla,
Ketiga bla,bla,bla….


H = Honest
Seandainya ini adalah pengalaman pertama anda bercakap di hadapan audiens yang agak ramai, saya sarankan agar lebih bersifat terbuka dengan audiens.Terangkan pada audiens dengan sejujur mungkin bahawa ini adalah pengalaman pertama anda bercakap di hadapan khayalak ramai.Perasaan cemas dan gementar beransur akan hilang dengan sendirinya bila audiens faham dengan kekurangan yang ada pada diri anda. Perasaan cemas dan gementar juga adalah punca utama kegagalan memberikan ucapan yang menarik.Seandainya perkara ini dapat di atasi,anda mungkin akan dapat menjadi jurucakap/penceramah yang jauh lebih hebat dari Larry King! Selalunya, di dalam sekelompok audiens, pasti akan ada yang tertidur di sebabkan kebosanan yang berpunca dari cara penyampaian yang kurang menarik. Secara jujur, anda boleh mengakui kekurangan yang ada dan cuba memperbaiki kelemahan yang ada.Audiens yang peka pasti akan member respons yang positif.Tanpa anda sedari, sebenarnya adalah seorang pemerhati yang baik kerana dapat memberi tumpuan pada audiens itu sendiri.


I = Interesting
Gunakan keadaan sekeliling sebagai satu bentuk jenaka yang tidak keterlaluan atau boleh juga menggunakan gambar-gambar yang menarik sebagai rangsangan untuk audiens. Dengan menggunakan persekitaran yang hampir dengan anda sebagai suatu bentuk jenaka, anda sebenarnya mendekatkan jurang di antara audiens dan diri anda sendiri.


N = Neat
Cara pemakaian juga memainkan peranan penting.Untuk kelihatan kemas dan bergaya, tidak semestinya anda harus memakai pakaian yang mahal dan berjenama.Cukup dengan pakaian yang bersesuaian, solekan wajah dan dandanan rambut.Misai,kumis dan jambang juga perlu di titik beratkan.Perlu sentiasa kemas kerana seperti juga Shah Rukh Khan yang sentiasa menjadi perhatian, seorang jurucakap atau penceramah adalah seperti SUPERSTAR kerana menjadi tumpuan mata audiens.
Dalam hal ini, saya menjadikan Robin Sharma,seorang pakar motivasi yang elegan sebagai mentor dari segi pemakaian.Untuk memastikan saya mendapat stamina dan bentuk badan yang terjaga, saya mengamalkan senaman dan jogging yang tersusun sebagai rutin harian. Seorang jurucakap/penceramah yang kelihatan kemas dan menarik dari segi penampilan akan memberi pengaruh besar kepada audiens.Jurucakap/penceramah yang kelihatan cergas dari segi fizikal secara langsungnya adalah jurucakap/penceramah yang cerdas pada mindanya.


E = ENTER
Dalam memberikan ucapan, kita perlu sentiasa mengawasi audiens yang ada. Perlu di pastikan sama ada mereka memberi perhatian atau tidak. Information harus ENTER.
Intonasi suara akan memainkan peranan penting dalam setiap ucapan. Intonasi yang menarik akan membuat audiens memberi perhatian yang lebih kerana pesona akan muncul dari setiap patah kata yang di susun.
Pastikan penyampaian tidak terlalu laju kerana penyampaian yang laju akan membuat audiens mudah bosan kerana gagal memahami apa yang anda sampaikan. Setiap ucapan mestilah sampai ke setiap perdu hati dan menakluki fikiran audiens.Ensure it’s ENTER!

Dan yang paling utama, pastikan mikrofon berfungsi dengan baik sebelum memberi ucapan kerana mikrofon yang tidak sempurna akan membuatkan ucapan anda tidak ENTER!

Sekiranya perkongsian ini di rasakan berkesan, amalkanlah untuk lebih SHINE…



Nota :
Terima kasih dari saya kepada sebilangan pembaca yang telah menghubungi saya untuk mengetahui lebih lanjut tentang Gulaabi Annkhen dan tidak ketinggalan perhargaan saya untuk mereka yang telah memberi ucapan tahniah di atas penghasilan blog ini. Sebarang pertanyaan, bolehlah di hantar ke ruang komen.

No comments: